Peribahasa adalah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu dan tersirat.
Kepentingan
Peribahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, atau ingatan secara kiasan atau sindiran. Dengan menggunakan peribahasa banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain.
Kesukaran untuk memberi nasihat secara terus terang tanpa menimbulkan rasa marah telah mewujudkan peribahasa wujud. Apatah lagi orang yang hendak ditegur itu mempunyai pengaruh seperti ketua kampung, penghulu, raja dan sebagainya atau kaum kerabat mereka. Jadi mereka mula mengumpamakan sesuatu perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan oleh semua orang dengan sendiri. Seringkali perkara yang diumpamakan itu berkaitan secara langsung dengan anggota masyarakat dan alam sekeliling mereka.
Kegunaan
Umumnya, peribahasa masih terus digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga hari ini. Peribahasa dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti simpulan bahasa, perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat. Antara beberapa contoh peribahasa termasuklah “Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga”, “Masa itu emas”, “Ibarat burung, mata lepas badan terkurung”, “Bagai aur dengan tebing”, “Seperti api dalam sekam”, “Seperti anak ayam kehilangan induk”, “Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi”, “Ukur baju pada badan sendiri”, dan “Muafakat Membawa Berkat”.
Tujuan
Sesungguhnya tujuan utama penciptaan peribahasa adalah untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat pada zaman dahulu kala. Selain itu, peribahasa berfungsi sebagai pengawal sosial. Hal ini bermaksud masyarakat dahulu kala sering menegur anggotanya dengan cara berkias ibarat melalui peribahasa. Dengan cara demikian, orang yang ditegur tidak mudah tersinggung. Begitulah juga dengan pihak penegur yang lazimnya terdiri daripada orang tua-tua, tidak akan berasa segan untuk berbuat demikian apabila diperlukan. Misalnya, apabila seorang tua yang ingin menegur sikap bebas anak gadisnya akan menggunakan peribahasa yang berbunyi “takkanlah perigi yang mencari timba”. Dalam konteks lain pula, seorang guru akan menasihati anak muridnya yang berasa malu untuk bertanya sesuatu dengan menggunakan peribahasa ini, “malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut”.
Kerelevanan
Kebanyakan peribahasa yang dicipta orang dahulu kala masih benar dan sahih sehingga kini, namun terdapat sebilangan kecil peribahasa tersebut yang dianggap tidak lagi relevan. Bagaimanapun jika dilihat secara positif, ianya tetap relevan cuma perlu ditafsir secara lebih mendalam dan mengikut konteks sekarang.
Contohnya ramai menganggap “Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang”, “Biar mati anak, jangan mati adat”, dan “Hutang darah dibayar darah” sebagai sudah tidak boleh diterima.
“Biar mati anak, jangan mati adat” jika ditafsir sebagai para ibu bapa mengorbankan anak sendiri semata-mata untuk mempertahankan adat masyarakat memanglah tidak boleh diterima. Sebaliknya, jika kita melihat adat sebagai peraturan masyarakat dan undang-undang pada hari hari ini, ianya boleh diterima. Undang-undang tidak mengenal sesiapa biarpun anak sendiri yang bersalah, mereka terpaksa dihukum mengikut undang-undang yang ada.
Begitu juga “Hutang darah dibayar darah” dianggap tidak harus dipraktikkan kerana mendorong keluarga mangsa bertindak balas terhadap pembunuhnya. Sekiranya hal sedemikian dilakukan, masyarakat akan menjadi tidak tenteram. Bagaimanapun ianya tetap praktikal, ianya cuma kiasan yang bermaksud sesuatu perbuatan mesti diberi balasan yang setimpal, cuma bukan kita sendiri yang bertindak. Pada masa sekarang pasukan polis dan badan kehakiman yang menjalankan siasatan terhadap sebarang jenayah dan manjatuhkan hukuman ke atas pesalah.
Kesimpulannya, peribahasa tetap relevan setakat ini. Sesetengah menganggap ianya tidak lagi sesuai kerana telah menganggap adat dahulu dengan sekarang berbeza. Sebenarnya adat adalah amalan sesuatu masyarakat. Ianya harus ditafsir secara lebih meluas mengikut zamannya.
Dipetik daripada http://ms.wiktionary.org/wiki/Wiktionary:Peribahasa dan diubahsuai menikut pendapat sendiri.
No comments:
Post a Comment